Saturday, June 13, 2009

INFO


Bahayakah ideologi liberal ini?
Apabila seseorang itu berfikir secara liberal bermakna ia sedang berfikir secara bebas tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak. Penganut ideologi liberal kebiasaannya akan berfikir lain daripada kebiasaan seseorang itu berfikir dan ianya pasti akan bertentangan dengan fitrah Islami manusia. Malah kesan paling hebat apabila ideologi ini semakin meresap ke dalam minda seseorang itu mereka akan melihat sesuatu itu biasa walaupun ianya adalah sesuatu yang luar biasa pada asalnya. Oeleh kerana ideologi ini berasal daripada Barat maka sudah tentulah ianya bertentangan dengan kehendak Islam yang melihat bahawa manusia itu perlu dikawal dengan undang-undang yang tertentu agar ia tidak bergerak melampaui batas. Aliran liberalisme di Barat menekankan kebebasan dalam semua hal samada dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat. Ideologi liberal berkehendakkan kepada masyarakat di Barat pada waktu itu berfikir secara bebas tanpa dibelenggu oleh kawalan daripada sesiapapun hatta pemerintah pada waktu itu. Semangat peribadi yang tinggi dalam falsafah liberal itu sendiri menyebabkan masyarakat Barat pada ketika itu, malah sehingga kini hidup dalam kerosakan dan kehinaan. Mereka maju dari segi materialnya tetapi runtuh akhlaknya. Mengapa ini berlaku, tidak lain tidak bukan kerana kebebasan yang mereka agung-agungkan selama ini. Berbuatlah apa sahaja kerana anda berhak menikmatinya. Mungkin itulah motto rasmi bagi mereka yang berpegang kepada ideologi liberal ini.

Sabda Rasulullah saw :

“Sungguh kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta, hingga kalau mereka masuk lubang biawak, kamu akan tetap mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya,”Apakah mereka Yahudi dan Nasrani?” Jawab Rasulullah SAW,”Lalu siapa lagi?” (HR Bukhari & Muslim).

Kini pemikiran ataupun ideologi ini telah menerjah masuk ke alam melayu yang mana kesannya telah dapat kita lihat sedikit demi sedikit. Perbandingannya dapat kita perhatikan dengan melihat perubahan budaya hidup masyarakat melayu dahulu dengan masyarakat melayu moden sekarang. Lihatlah cara berpakaian mereka, cara mereka mengeluarkan pendapat tentang agamanya, cara mereka mengkritik Ulama'-ulama'walaupun mereka bukan ahli dalam bidang agama, cara pemakanan mereka dan di mana mereka makan, cara mereka mendidik anak-anak mereka dan bermacam-macam lagi yang boleh kita perhatikan. Ya mungkin berfikiran moden itulah yang dikatakan liberal kerana berfikiran tertutup itu dikatakan seseorang yang bersifat kampungan. Ya, mungkin juga mereka yang liberal itu adalah mereka yang lebih matang berbanding mereka yang tidak liberal. Ya, mungkin juga mereka yang liberal itu adalah golongan yang berani kerana bisa mengubah cara berfikir umat Islam yang kononnya begitu jumud kerana dikongkong itu dan ini dengan hukum-hakam agamanya. Salahkah mereka ingin berkelakuan begitu dan begini kerana mereka tidak meninggalkan solat, mereka berpuasa dan mereka begitu menghormati orang tua. Mereka cuma inginkan ruang kebebasan dalam diri mereka seperti cara berpakaian dan aktiviti sosial mereka. Mereka tidak mengganggu orang lain, mengapa mereka mesti diganggu oleh segelintir mereka yang tidak senang dengan cara mereka berfikir.

Secara peribadi perkembangan ini begitu membimbangkan kerana jika ini tidak diambil perhatian dan dikawal, tidak mustahil suatu hari nanti Malayu yang ada kini akan hilang nilai ketimuran dalam dirinya. Malah ideologi ini akan menggalakkan budaya tidak kisah dan tidak ambil peduli orang lain. Janganlah nanti orang yang berbuat baik itu dilihat sama sahaja dengan mereka yang berbuat mungkar. Tidak ada kaedah lain yang dapat mengatasinya melainkan kita perlu kembali atau berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar. Bukan ajaran islam yang hanya diambil ketika perlu sebagaimana orang mengambil ubat demam ketika demam. Islam bukan ubat demam yang hanya boleh diambil apabila perlu dan mengikut masa-masa yang ditetapkan oleh pihak doktor. Islam itu " way Of Life " dan perlulah digerakkan sepanjang hayat ini selagi mana bernafas.

Ingatlah wahai umat Islam, dunia ini bukan milik kita, tetapi harta yang kita warisi daripada anak-anak kita. Jika kita gagal menjaganya, maka merekalah yang akan menikmati kehancurannya. dan ingatlah bahawa rosaknya Islam pada hari esok adalah kerana tangan-tangan kita pada hari ini.SUMBER-Tranungkite

No comments: